Giving the latest news about the world of tennis, free learning tips, free wallpaper and simple biography about our tennis player, we also review some of the latest equipment that are being use by players today.
Tuesday, September 14, 2010
Pemain Tennis Generasi baru memiliki kelebihan
Del Potro 1.98 meter & Soderling 1.92 meter
Berdych 1.95 meter & Querrey 1.98 meter
13/9/2010 - JUAN Martin del Potro, Robin Soderling dan Tomas Berdych, masing-masing mempunyai ketinggian sekurang-kurangnya 1.92 meter dan mengasak lawan dengan pukulan kencang daripada garisan belakang. Setiap gerakan sempurna, diperkuatkan dengan kepantasan dan kehebatan sesuai dengan susuk tubuh mereka.
Mereka juga pernah menewaskan Roger Federer dalam acara Grand Slam tahun lalu di tiga gelanggang berbeza iaitu del Potro di Terbuka Amerika Syarikat, Terbuka Perancis (Soderling) dan Wimbledon (Berdych) menunjukkan evolusi tenis lelaki, di mana satu ketika dahulu pemain tinggi dan kuat mampu menguasai permainan menerusi servis semata-mata.
“Itu yang anda perlu lakukan ketika menentang Federer,” kata Justin Gimelstob, pengulas Tennis Channel dan bekas pemain profesional. “Anda perlu memberi tekanan terhadapnya, memberi pukulan padu untuk dibalas dengan pukulan kilas dan perlu setanding dengan pergerakan dan tubuh yang sasa. Itulah haluan sukan itu ketika ini. Saya anggap mereka sebagai pemain hibrid baru,” katanya.
Pemain profesional biasanya dibahagikan kepada dua kategori iaitu pemain bertubuh besar yang membuat pukulan bertenaga tetapi pergerakan tidak menentu di gelanggang dan pemain bertubuh kecil tetapi bermain dengan cantik dan penuh bergaya, satu cara untuk mengatasi kekurangan dalam melakukan pukulan padu. Sudah pasti terdapat pengecualian.
Kini tidak ramai pemain mampu melakukan pukulan lebih kuat daripada Rafael Nadal yang mempunyai ketinggian 1.85m. Bagaimanapun dia dikelilingi evolusi pemain tenis baru dengan del Potro, 1.98m, Berdych, 1.95m dan Soderling, 1.92m diikuti pemain Amerika Syarikat, Sam Querrey, 1.98m dan John Isner, 2.05m.
Mereka adalah pemain muda elit atau mungkin lebih layak menyertai NBA. Trend penyertaan pemain tinggi serta tubuh badan tegap turut mempengaruhi tenis wanita dan sukan lain. Malah, Nadal baru-baru ini mengakui dia perlu bermain lebih agresif dalam kejohanan penting dan itulah yang dilakukannya untuk menjuarai Terbuka Perancis dan Wimbledon.
“Pemain seperti ini mempunyai kebolehan menentukan sama ada mereka tewas dalam permainan,” kata bekas pemain, Darren Cahill yang kini menjadi penganalisa ESPN. “Pukulan mereka begitu padu. Gerakan mereka cantik dan kini tenis menjadi permainan lelaki bertubuh besar,” katanya.
Boris Becker yang digelar Boom Boom dengan ketinggian 1.90m yang sebelum ini dianggap pemain terkuat dalam jelajah tetapi tidak boleh bergantung kepada saiz semata-mata hari ini. Dalam satu wawancara di Wimbledon, Becker berkata, keadaan memaksa pemain tinggi ketika itu melakukan pukulan kuat, bertindak agresif dan berharap dapat mengecewakan lawan.
Pemain seperti itu sukar ditemui. Kini, pemain seperti itu boleh bermain corak bertahan dan strategik dan mendapatkan mata menerusi pukulan dari garisan belakang. “Pemain lelaki begitu kuat di garisan belakang dan kini mereka tidak perlu datang ke jaring untuk mendapatkan mata,” kata Becker.
“Itulah sebabnya kami bergerak ke jaring, untuk mendapatkan mata. Hari ini, pemain besar boleh mendapatkan mata biarpun empat meter daripada garisan belakang.” Bagaimanapun ia hanya memberi penjelasan sebahagian daripada evolusi.
Ketika bahan raket ditukar daripada kayu ke grafit, ada yang mengeluh jika pemain mempunyai lebih kekuatan akan menguasai tenis sedangkan sejak bertahun lamanya pemain dengan gaya permainan cantik menang perlawanan. Becker seperti kebanyakan pemain berkata, perkembangan terkini teknologi raket dan tali turut memberi pengaruh.
Putaran tambahan membolehkan pukulan yang sepatutnya keluar jatuh dalam garisan. Kebelakangan ini, Federer turut diminta mempertahankan tempatnya dalam gaya permainan moden. Mungkin keputusan yang tidak konsisten kebelakangan ini, menjadi punca utama kemerosotannya. Seperti diperkatakan Federer di Toronto, servis dengan kelajuan lebih 200 kilometer sejam sebelum ini dianggap hebat tetapi kini ia sesuatu yang biasa. Sementara servis kedua pula menurut Federer meningkat 40kmj.
Pukulan balas juga semakin pantas dan memandangkan tidak ramai pemain menuju ke jaring, pukulan tepat dilihat semakin kurang penting. Menurut Federer, teknologi raket membolehkan bola dari pelbagai arah, jarak dan gaya dipukul dengan kelajuan maksimum. Semua ini, menurut Federer mengurangkan kesilapan.
“Pukulan pemain lebih hebat daripada sebelumnya,” katanya. “Saya mempunyai pukulan yang baik tetapi tidak mempunyai kelebihan yang dimiliki tenis wanita di mana anda boleh mendominasi lawan setiap masa. Ia tidak berlaku dalam tenis lelaki,” katanya. Federer memberitahu BBC bahawa dia mahu memenangi 20 kejuaraan Grand Slam atau empat lagi sebelum bersara.
Katanya, dia tidak perlu lihat dengan peningkatan kuasa dalam permainan akan menyingkirkannya. Paul Annacone, jurulatih yang mula bekerjasama dengan Federer baru-baru ini menyifatkannya sebagai seseorang yang berpandangan jauh berbanding individu yang mampu menyesuaikan diri. Dia merujuk kepada kejohanan yang dimenangi Federer di Cincinnati serta komitmen dan kepercayaannya.
Cahill turut membayangkan bahawa gaya servis dan voli yang dianggap 'dinosaur tenis' akan kembali dan ia dilihat satu kitaran yang biasa dalam sukan. Ada yang mencadangkan teknologi raket dan tali yang lebih mudah bagi menghalang evolusi. Mungkin bintang tenis seterusnya adalah pemain yang tinggi, melakukan pukulan kuat tetapi bermain dengan gaya cantik seperti Federer.
“Masih ada ruang untuk permainan bergaya dan cantik yang berjaya mengelirukan orang ramai,” kata Cahill. “Federer membuktikannya berkali-kali. Biarpun dengan teknologi tali yang baru sepanjang 10 tahun lalu, dia masih menjuarai 16 kejohanan utama.” Apa pun, gelombang baru sudah tiba. Kita memanggilnya generasi hibrid.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment